Pages

Thursday, June 10, 2010

aku rindu dua huruf itu

malam ini ialah khamis malam jumaat. entah kenapa aku dapat rasakan nur menyelinap masuk ke dalam dadaku. selepas solat maghrib, aku mencapai sebuah buku berwarna biru muda, berlambang sekolah, yang sedikit berhabuk. ya, mungkin sudah lama aku tidak menyentuhnya. buku itu ialah buku yaasin dan tahlil PIBG sekolahku dulu. sekolah terakhirku. aku membukanya, dan membaca surah yang selalunya orang baca pada malam jumaat. oh tenang.

tiba-tiba aku ter-flashback masa silamku. dulu. masa aku kecil, ketika keluargaku masih SATU, masih berketua, masih dengan seorang bapa, setiap khamis kami akan solat maghrib bersama. dan selepas itu membaca yaasin bersama. bapaku yang berniaga siang malam amat sedikit masanya untuk kami. namun, setiap khamis malam, dia sanggup melewatkan sedikit masa kedainya dibuka supaya kami boleh sama-sama beramal. aku masih ingat.dulu aku selalu bajet dengan adik-beradik yang lain. aku bajet pandai. asyik-asyik aku saja yang nak baca doa lepas yaasin. takde orang pun nak berebut tugas tu dengan aku. aku bukan nak berbangga or wtv, tapi entahlah. aku suka baca doa tu. bahagianya masa tu...

sehinggalah masa aku darjah enam, aku kehilangan bapa yang dulu aku sanjung-sanjung. yang aku sayang sangat-sangat. perginya bukan pergi tak kembali. dia masih ada di dunia. tapi mungkin jauh dari kami. jauh dari hati kami mungkin. ya. aku juga dapat rasakan aku semakin jauh dengannya. tidak keterlaluan mungkin untuk aku katakan, rasa sayang aku kepadanya semakin terhakis. apalah aku ni. anak tak kenang budi. selepas tiada lagi ketua dalam keluargaku, amalan yaasin masih ada. cuma amalan sembahyang berjemaah itu yang sukar sedikit. entahlah. mungkin kerana tiada siapa yang ingin menjadi imam lagi. aku? tak mungkin. aku tak layak. ya, selepas ayah tiada, akulah yang paling bajingan dalam keluarga. aku buat masalah, tapi tiada siapa tahu. kalau ibu tahu, mesti ibu kecewa. sebagai anak yang selalu diharap-harapkan, satu-satunya anak lelaki dalam keluarga..akulah yang paling ibu harapkan. ya. aku ANAK LELAKI tunggal. yang lain semuanya perempuan. mungkin sebenarnya tugasku menggantikan ayah. tapi aku tak mampu. amalan yaasin pun sudah mula pudar dalam keluargaku. mungkin ini salah aku.

aku masih bernasib baik kerana aku masuk ke sekolah berasrama dari tingkatan satu. secara tak langsung aku masih bisa mendekatkan diriku dengan kebaikan. cuma hidupku mula terumbang-ambing bila aku dibuang asrama ketika dalam tingkatan tiga. ketika itu aku berkenalan dengan apa yang orang panggil rokok, dadah. punk, black metal, skin. semuanya aku sapu. ya, punk dan skin memang tak boleh ngam. mula-mula aku join skin. bila sudah rasa bosan, aku keluar. dan ada pula yang menarikku ke dalam aliran punk. namun, ada bayaran yang perlu aku berikan kepada orang-orang atasku. apa dia? aku perlu belanja mereka air kencing syaitan. tapi aku tak minum. entah kenapa ketika itu aku bodoh dan mengikut sahaja. darah muda, mungkin. semuanya nak dibuat.

aku terus begini sehingga melangkah ke tingkatan empat. sehinggalah aku terima sepucuk surat dari bahagian sekolah berasrama penuh. aku terima tawaran untuk ke sekolah sains. sekali lagi aku ke asrama. sekali lagi aku selamat daripada terus dihanyutkan arus dunia. aku mulanya sukar untuk sesuaikan diri dengan environment baru itu. aktiviti agama setiap malam. usrah segala. al-Mulk. dan Yaasin juga. ya, sudah lama aku tidak membacanya. aku menggunakan kesempatan itu untuk cuba mengubah semula diriku yang sudah terpesong jauh. aku berjaya, fikirku. aku sudah insaf. dengan membawa segulung sijil naqib. sijil nadwah. yang kononnya menunjukkan bahawa aku antara yang paling dihormati di sekolah, jika dalam soal agama. ya, mungkin benar. tapi itu tak bermakna lagi bila aku habis sekolah.

aku kembali bersama rakan-rakanku. melepak sana-sini. meronggeng bahasa lainnya. tapi, seperti biasa, aku tak minum. itu sumpahku dulu, ketika aku kantoi melepak di bar di depan ibu. ya, aku takkan minum. aku melepak sahaja. tapi melepak punya pasal, banyak jugalah sembahyang aku tinggal. tiada lagi jemaah maghrib. tiada lagi bacaan surah pada malam jumaat di rumah. kalau ada pun, hanya ibu dan kakak yang membaca. adik pula? entahlah. adik juga lebih kurang sama perangainya dengan aku ni. habis SPM, ketika zaman melepakku memuncak inilah aku belajar main picagari. main cucuk-cucuk. sakit. tapi entahlah. mula-mula rasa badan jadi kuat bila cucuk benda haram tu. tapi bila dah tak cucuk, rasa macam gian. lemah. sekarang juga aku dah pandai meminta-minta wang. kalau tak bagi, aku ambil sendiri. tak boleh lembut, cara kasar pun aku guna juga.

cuma suatu hari, aku rasa badanku tidak sihat. baru-baru ini jugalah. selepas 6 bulan aku cuti sekolah. entahlah. kenapa. lukaku pun macam susah nak baik. aku masih menggunakan najis dadah itu. tiba-tiba aku terfikir, sesuatu yang amat membimbangkan. entahlah. baru seminggu lepas, teman lepakku mati. HIV kata memberku yang lain. aku terkena jugakah? member yang mati itu ialah teman paling rapatku. selalu aku kongsi jarum dengan dialah. aku mengambil langkah terus. ke hospital. dan akhirnya. memang. aku juga dijangkiti virus itu. aku tak tahu nak cakap apa. aku rahsiakan saja dari pengetahuan keluarga. ibu mesti sedih. anak harapan ini. tidak lama lagi akan mati juga akibat virus yang ramai orang pandang jijik. ya. aku pun rasa macam tu. jijik, kecuali virus ini merebak melalui pemindahan darah, pewarisan dari ibu bapa dan sebagainya..itu lain cerita. tapi aku? aku ada virus ini kerana jarum...

aku memandang helaian-helaian di depan mataku. helaian putih bertulisan jawi warna hitam. terasa seperti ingin membacanya lagi. aku pun mula membaca lagi. tapi kali ini lain sedikit. kali ini aku membaca dengan penuh sebak. setitik demi setitik air mataku jatuh pada helaian putih. sebak. sangat sebak. flashback tadi memang menginsafkan aku kali ini. dan kali ini aku insaf betul-betul. bukan insaf hangat-hangat tahi ayam macam masa aku form4 dulu. aku taubat nasuha. aku terus membaca lagi. aku sedar masaku mungkin sudah hampir. kalau aku mati, biarlah aku mati bertemankan dua huruf yang aku rindu ini. yaa sin. kalaulah umurku panjang, aku ingin hidup berteman dua huruf ini juga, aku ingin hidupkan kembali amalan membacanya. tapi, adakah ada masa lagi untukku?

dua ayat terakhir aku baca dengan suara yang sangat berat. sukar. susah untuk diluah. dan pada huruf terakhir, aku mengucap dua kalimah, kunci syurga itu. Tuhan, terimalah aku di syurgamu. semoga di sana aku terus dapat bersama dua huruf ini juga. dua huruf yang pernah menyatukan keluargaku dulu...

* * * * *

"abang? abang? dah bersiap belum? kita nak gerak pergi rumah mak ngah ni. esok kan abang kena daftar kat intec?" kedengaran suara si ibu dari luar bilik.

si ibu membuka pintu bilik yang tidak berkunci. alangkah terkejutnya dia. melihat anak lelakinya rebah di atas tikar sejadah. dengan buku yaasin dan tahlil yang dipeluk erat ke dada. anak lelaki harapannya sudah tiada lagi. dan di atas katil, ada sepucuk surat untuk ibu, kakak dan adik...

Assalamualaikum.
ibu, kakak dan adik. masa ni abang rasa mungkin abang dah tak ada. abang minta maaf sebab abang tak dapat ganti tempat ayah, sejak ayah tinggalkan kita. patutnya, abang sebagai lelaki, abang kena pimpin keluarga, atau sekurang-kurangnya pimpin adik dan kakak. tapi apa abang dah buat? abang yang teruk. abang bersalah. ibu, maafkan abang.
bila abang dah tak ada, harap ibu dapat hantar jasad abang ke hospital. sebab jasad abang tak boleh dimandi oleh orang biasa. abang kena diuruskan di hospital. sebab abang ada HIV, positif... abang minta maaf sebab rahsiakan ni. abang taknak ibu sedih. ibu, abang minta maaf. lepas ni, abang harap, keluarga kita bersatu, walaupun tanpa ayah dan abang. amalkan lah balik apa yang kita pernah amalkan dulu. (ibu tahu maksud abang kan?) abang doakan keluarga kita bahagia dunia akhirat. maafkan abang.
-Abang Ngah

1 comment:

Little S said...

5 star for this story...