Pages

Thursday, July 1, 2010

Tragedi Musim Durian


Hafizudin duduk di bawah sebatang pokok durian di dusun datuknya. Dia termenung jauh. Dia dilahirkan di sini, ketika ibunya yang sarat mengandung mengidam makan durian lalu masuk ke dusun tersebut untuk mencari buah durian bersama bapanya. Dan di sini jugalah dia bertemu buah hati pengarang jantungnya. Masih dia ingat, ketika musim durian beberapa tahun lalu, di sinilah dia berjumpa dengan Siti. Ketika itu keluarga Siti datang untuk melawat dusun durian, sambil-sambil hendak merasa durian. Datuk Hafizudin meminta bantuannya untuk mengutip durian yang baru gugur.

Keluarga Siti juga turut sama mengikut untuk mencari durian yang gugur. Siti mengekori Hafizudin bersama adik lelakinya, Safwan. Ketika mereka bertiga sedang berjalan, tiba-tiba sebiji durian gugur dari dahannya. Nasib baik Hafizudin sempat menolak Siti. Siti terselamat daripada ditimpa durian yang gugur itu. Selepas itu, Hafizudin mengutip durian yang gugur itu lalu dimasukkan ke dalam bakul. Siti mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Hafizudin. Di situlah cinta mereka mula berputik, ibarat putik durian yang baru berputik (pening oh ayat ni) Putikan cinta mereka dihiasi dengan ‘background music’ lagu Inilah Cinta yang disumbangkan oleh Safwan.

Hafizudin masih ingat, sejak hari itu setiap kali musim durian Siti akan datang ke dusun itu untuk makan durian free. Nampak seperti Siti mengambil kesempatan atas hubungannya dengan Hafizudin untuk makan durian free. Tapi ketika itu Hafizudin tidak kisah. Sebakul durian pun dia tidak kisah untuk diberikan kepada Siti. Suka hati dia lah, dusun datuk dia. Maklumlah, orang tengah bercinta. Awek kentut bau durian pun terbau wangi. Inilah lumrah cinta.
Selepas hampir tiga tahun menjalin hubungan cinta, musim durian berikutnya keluarga Siti tidak kunjung tiba. Penat Hafizudin menunggu, namun lubang hidung Siti dan keluarganya tidak juga dapat dilihat. Di suatu pagi yang hening, ketika Hafizudin masih menunggu di pondok dusun durian datuknya, Siti datang berlari-lari anak ke arahnya. Siti menangis.
“Bang Sudin..Siti kena kahwin dengan orang lain. Maafkan Siti, Bang,” kata Siti dengan air mata dan air hidung yang berjurai-jurai. “Mereka kata, kahwin dengan Abang nanti susah. Asyik-asyik makan durian saja,” sambung Siti. Hafizudin turut menangis. Sebak sungguh suasana ketika itu. “Kalau itu yang keluarga Siti mahukan, apalah daya Abang. Abang lepaskan Siti pergi...” Tiba-tiba sepasang suami isteri datang menyerbu dusun durian datuk Hafizudin. Mereka memaksa Siti pergi. Itu ialah kedua-dua orang tua Siti. Hafizudin hanya mampu melihat.

Hari ini, musim durian tiba lagi. Tiada lagi Siti. Hafizudin tiba-tiba menangis mengenangkan kisah cinta terhalang mereka. Dia menangis dengan teruk sekali. Dia menumbuk-numbuk batang pokok durian tempat dia sedang bersandar. Sedihnya rasa di hatinya.
“Apalah makna hidup ini tanpa Siti. Lebih baik aku mati saja,”katanya dalam kesedihan. Tiba-tiba sebiji durian besar yang selalu dijual sekilo RM8 gugur lalu tepat mengenai kepalanya. Darah mencurah-curah keluar. Hafizudin menggelupur di tanah selama beberapa minit dan selepas itu dia mati di tempat kejadian. Berakhirlah riwayat hidupnya , di dusun durian itu juga.

No comments: